IMAN di Frankfurt Book Festival

0 comments

1. Tahun ini kali kedua kami bertandang ke sini. Meneruskan cita-cita besar kami mahu berkongsikan konten Islam buat masyarakat dunia.

2. Terdapat 1.9 billion Muslim di seluruh dunia, tetapi yang mempunyai kuasai membeli yang besar dan ada kemahuan kepada konten Islam adalah barangkali 10% dari populasi berikut; 15 juta rakyat Eropah, 18 juta rakyat Malaysia, 80 juta rakyat Turkey, 200 juta rakyat Indonesia, 10 juta rakyat Arab, 5-10 juta US dan Canada.

Begitu pun kontennya harus tepat untuk rakyat di negara tersebut - gaya bahasa dan budaya di dalam buku tersebut. Ini menjadikan konten Islam pun agak mencabar untuk disebarkan ke seluruh dunia walaupun ada peluang tersebut.

3. Di dalam pasaran buku yang padat, IMAN perlu mencari pasaran yang belum diterokai, niche pasaran yang tidak ramai penerbit di dunia membuatnya. Itulah “Islamic contemporary content” yang menarik perhatian anak muda. Buku berbahasa Melayu yang menceritakan tentang kisah kehidupan anak muda di Malaysia sangat susah untuk tembus ke pasaran antarabangsa apabila isinya ada unsur islamik. Jika unsur general, thriller, cinta masih ada harapan.

70% buku Iman Publication tak sesuai untuk pasaran antarabangsa. Barangkali ada harapan untuk diterjemahkan ke bahasa Inggeris atau Jerman dahulu, tetapi itu pun berisiko. Kami berulang kali cuba untuk menembusi pasaran negara jiran, iaitu Indonesia, namun malangnya: “Budayanya enggak sama ibu. Penulisnya tidak dikenali orang rakyat Indonesia. Barangkali susahnya jika mahu dipasarkan ke negara Indonesia.” Saya sendiri masih belum nampak peluang untuk membawa buku saya sendiri ke pasaran antarabangsa. Saya juga sudah harus mula menulis dalam bahasa Inggeris.

4. Fokus kami 5 buku sahaja kali ini ( 8% dari keseluruhan judul buku IMAN) - Letters to God, karya Norhafsah Hamid ; The Art of Letting God dan Call Upon Him oleh Ust Mizi WahidBeing A Quran Tag Girl oleh Ayesha Syahira dan juga How Are You? karya Aiman Azlan dan Aiman Amri. Konten untuk anak muda, spiritual dan menyelesaikan masalah mental dan emosi. Ternyata menarik ramai penerbit Muslim untuk mendengar pitching kami.

5. Karya Teme Abdullah walaupun best seller di Malaysia namun sangat susah dipitch. Best seller di Malaysia tak semestinya mampu tembus ke pasaran antarabangsa. Latar belakangnya boleh lokal tetapi isunya harus global.

6. Banyak kami belajar sepanjang bergaul dengan penerbit dari Eropah. Antaranya mengenai kos percetakan termurah adalah di Turkey dan China dengan minima cetakan sebanyak 3 ribu. Pulangan duit dari cetakan itu, biasanya 2-3 tahun . Menjadikan mereka sangat berhati-hati dalam menerbitkan mana-mana buah buku. Saluran pengedaran mereka adalah 500 masjid dan kedai buku Islam di seluruh Eropah. Tempat simpanan buku pun tersangat mahal, disebabkan itu mereka harus pastikan buku-buku yang dicetak dapat disalurkan secepatnya kepada pengedar.

Permintaan buku untuk anak muda sangat tinggi, tidak ramai penulis Muslim di Barat mampu menulis buku untuk rakyat Muslim di Eropah yang membesar di Eropah. Jika adanya penulis di Malaysia yang mahu tulisannya sampai ke tangan Muslim di Eropah - penulisan ruhani yang santai menjadi pilihan mereka.

7. Ulama yang ditsiqahi (dipercayai) di kalangan rakyat Eropah tidak ramai . Lagi tidak ramai yang mampu menulis dengan baik. Maka penulisan ulama kontemporari dan menyentuh hati sangat kurang di Eropah. Mana-mana asatizah di Malaysia yang mampu menulis dengan bahasa Inggeris dengan baik sesuai dengan konteks umum Muslim di dunia, ini adalah satu niche area yang boleh diceburi. Seerah Made Easy atau Sirah for newbies adalah salah satu angle penulis seperti Khubaib Akhi boleh ceburi. Kami berniat untuk menterjemahkan karya Ustaz Syaari Ab Rahman, kerana kontennya mengenai tadabbur al-Quran yang cukup baik, tetapi ini perancangan masa panjang, perlu disusun dalam jadual.

8. Sepanjang 4 hari berkenalan dan bertukar pandangan berkenaan pasaran dan industri buku di negara mereka; IMAN mendapat minat dari penerbit Indonesia - Mizan, Turkey - ERKAM World , UAE - Takhayul Media, German - Em-Buch.De, Abu Dhabi - Thaqafa Publishing dan German dan Turkey - Plural Publication.

Kebanyakan syarikat penerbitan Muslim di German juga memasarkan buku di negara Eropah yang lain. Kebiasaan usaha trade rights memerlukan 2-3 kali pertemuan sebelum dapat termaterai perjanjian kerana buku harus dibaca dan disemak editorial team sebelum dapat diterbitkan. Untungnya berhubungan dengan syarikat penerbitan Islam, networking tidak memerlukan makan malam atau keluar berparti bersama, cukup dengan kepercayaan bersama serta kecederungan atau minat yang sama dalam menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

9. Hampir kesemua penerbit Muslim yang kami temui menubuhkan syarikat penerbitan atas dasar perjuangan Islam - untuk menyampaikan risalah menerusi buku. Terdapat dua tiga booth Muslim Publisher di FBF yang memberi buku berkenaan tentang Islam secara percuma kepada pengunjung.

10. Jual hak cipta tidak membawa keuntungan serta merta. Ia adalah kerja janga masa panjang. Saya berkira-kira jika fokusnya adalah membangunkan konten yang relevan dengan lokal, maka seharusnya empower rakyat di negara itu untuk menulis, atau rakyat / pelajar Malaysia di tempat tersebut untuk menulis konten sesuai dengan permasalahan dan isu di negara tersebut. Cadangan ini saya sempat sampaikan kepada pelajar Malaysia di German sewaktu perkongsian atas talian bersama mereka sehari sebelum kami pulang ke Malaysia.

11. Long termnya lagi adalah menjadi penerbit seperti Penguin Random House - yang membangunkan konten local untuk pasaran lokal. Saya bayangkan jika IMAN mahu membuka cawangan pertamanya di luar negara, harus bermula dengan Indonesia dahulu kerana membangunkan konten Islam untuk anak muda sangat penting di rantau ini, apatah lagi budaya dan bahasanya tidak jauh beza. Pembeli dan penyokong tegar IMAN di Indonesia semakin berkembang.

Saya berharap rakan penerbit di Indonesia boleh membantu usaha ini untuk menjayakannya dalam 3-4 tahun mendatang. Boleh dibawa kontennya ke negara Asean terlebih dahulu dan manfaatkan pasaran yang sangat besar tetapi belum tersentuh lagi dengan konten Islam yang baru ini. Jika kita tidak buat, penguin random house atau amazon crossing yang akan ambil kesempatan atas kelompongan ini.

12. Kerja IMAN baru sahaja bermula. Doakan kami. Masih banyak yang perlu dibuat. Biarlah jasad kami hanya berada di Malaysia, tetapi mesej dan konten yang kami mahu kongsikan, bertebaran ke seluruh dunia menerusia dunia buku.

Aisyah Z/Muharikah
Founder Iman Shoppe & Iman Publication
Penulis buku motivasi, tarbiah dan fiksyen di Iman Publication

Leave a comment

All blog comments are checked prior to publishing
You have successfully subscribed!
This email has been registered