Frankfurt Book Fair 2019
Barangkali ramai yang masih belum sedari akan kewujudan Frankfurt Book Fair dan apa signifikannya terhadap pembangunan ketamadunan industri buku di dunia.
1) Apa itu Frankfurt Book Fair ( FBF)?
FBF adalah pesta buku trading terbesar di dunia; 7,300 pempamer dari 100 negara, 296,000 pelawat yang terdiri dari penjual, penerbit, literary agent, penulis, jurnalis, perpustakaan, digital platform, juga pertubuhan atau persatuan buku; bagi tujuan menjual 400,000 hakcipta konten buku ke seluruh dunia.
Masuknya berbayar, jika private visitor - tiket sehari euro 22, jika trade visitor, bergantung kepada subsidi dan pakej - antara euro 20- 625 untuk 5 hari aktiviti di pesta buku Penganjur telah pun membuat keuntungan beberapa bulan sebelum pesta bukunya bermula lagi.
2) Lagi tentang FBF.
FBF ini bermula semenjak tahun 1454. Tujuan utamanya adalah untuk tujuan jual-beli hak cipta atau terjemahan dan tempat pertemuan pemain industri buku, penerbit dan kedai buku atau pengedar yang lain.
Ini adalah aktiviti memindahkan ilmu dan ideologi dari sebuah bangsa ke bangsa yang lain. Aktiviti yang sama telah pun berlaku di Baitul Hikmah - lebih 13 abad yang lalu, di zaman kegemilangan Khilafah Abbasiyah. Baitul Hikmah dibina pada tahun 813M- aktiviti perterjemahan ilmu, jual beli hakcipta berlaku di sepanjang tahun.
Disebabkan itu dahulu Islam sangat mampu membentuk dan mengubah pemikiran dunia - kerana sumber ilmunya itu datang dari negara Islam.
Kini, yang menjadi sumber ilmu dan tempat berlakunya transaksi dagang keilmuan itu, terbesarnya adalah di Barat.
3) Buku fizikal vs buku digital.
Menariknya di pesta buku ini, walaupun digital semakin berkembang, minat dan keperluan masyarakat dunia umumnya masih lagi suka kepada pembacaan buku fizikal. Beberapa penulis fiksyen di barat masih lagi mampu menjual jualan buku fizikal lebih 1 juta naskhah semenjak setahun dua diterbitkan. Orang masih lagi membaca buku; fizikal. Ini budaya yang sangat penting dalam industri buku.
4) Bercita-cita untuk menguasai dunia
'Top 10 publishers' di dunia mencapai jumlah jualan akumulatif sebanyak Euro 50 billion setiap tahun - paling tinggi adalah RELX Group (Pendidikan) Euro 4 billion setahun (sangat rendah berbanding syarikat tech tetapi marketnya masih besar). 10 Syarikat ini adalah dari UK/US/Canada/Netherland/France/Germany.
Nilai market buku di Malaysia adalah Euro 250 juta. Penerbit paling besar di Malaysia mencapai jualan Euro 2 juta setahun, pencapaian akumulatif 3 syarikat penerbitan terbesar Malaysia (Pelangi/Sasbadi/Oxford Fajar)- Euro 5 juta.
Begitulah kecilnya pencapaian penerbitan Malaysia berbanding penerbit Barat. Masih jauh perjalanan sebab itu kita tidak boleh hanya berpuas hati menjadi jaguh kampung. Kita harus bercita-cita untuk menguasai dunia seperti mana yang pernah berlaku di Baghdad satu masa dahulu.
5) Digital consumer
Mesti kita ingat di Barat mereka lebih banyak membaca ebook kan?
Tetapi pasaran ebooks hanya 6-9% sahaja di Eropah bergantung kepada negara.
Tetapi pembelian buku secara atas talian (online) di UK secara drastiknya bertambah kepada 52% (175 juta naskhah buku- 480 ribu naskhah sehari) ! Kewujudan Amazon sangat mempengaruhi cara pembelian buku di UK dan Eropah.
Anehnya apabila kami melawat kedai buku di London, Oxford dan Frankfurt, 95% ruang di kedai buku menjual buku. Berbeza dengan Malaysia, 40% ruang di kedai buku menjual aksesori selain daripada buku.
Pasaran online bertambah tetapi kedai buku tak mati, malah penuh pengunjungnya!
Pembaca di Eropah juga sudah berpindah kepada format berbeza dalam pembacaan buku audio, peningkatan yang tinggi tetapi saya tak berjaya mendapatkan angka sebenar. Ini dipengaruhi apabila semakin ramai pengguna membeli di online - maka segala formatnya dihyperlinkkan bersama - audio/ebook/buku fizikal.
Kehidupan urban yang sibuk menjadikan audiobook sebagai platform buku yang menarik untuk golongan pekerja dan profesional untuk didengari sewaktu mereka bergerak ke tempat kerja.
Transformasi digital berlaku dalam bentuk audio, juga pembikinan proses buku.
Transformasi content tidak banyak berubah walaupun teknologi berkembang- pembaca masih dahagakan buku yang connectkan mereka dengan kehidupan di dalam buku yang dibaca.
6) Konten
Genre buku yang masih dominan di Eropah adalah fiksyen terutamanya thriller. Ini termasuk buku fizikal dan audio. Kebanyakan buku yang mampu mencapai jualan lebih 1 juta naskhah dan terjual di puluhan negara adalah fiksyen. Malah Netflix mencari konten lokal untuk drama bersiri mereka menerusi fiksyen.
Pembaca Eropah dan Barat masih dahagakan konten dalam bentuk peneceritaan (story telling) yang menyentuh perasaan pembaca, malah ada isu dan ‘suara’ yang mahu dibangkitkan.
Buku fiksyen berbahasa Melayu masih belum berjaya ke tahap itu, walaupun kita mempunyai pelbagai buku sastera yang menang anugerah di dalam negara. Tetapi buku yang boleh dikomersialkan kepada dunia dan sesuai dengan kedahagaan rasa ingin tahu (curiosity) masyarakat dunia? Kita harus bekerja keras untuk itu.
Konten penulis barat, walaupun fiksyen, banyak memberi input dan mengubah cara pandang kita terhadap sesuatu perkara. Barangkali penulis mereka lebih fokus dalam penulisan. Ada yang mengambil masa setahun dua untuk mengkaji sesuatu isu sebelum menulis novel. Novel seperti itu berjaya tembus ke seluruh dunia.
Banyak novel dari negara lain yang ditulis dalam bahasa lokal - Rusia/China/Jepun/Ukrain/ tetapi karya mereka dapat dibeli hak cipta untuk terjemahan ke negara lain. Bukan sekadar soal bahasa, tetapi konten. Apabila konten kita setaraf dunia, kita mampu mengangkatnya ke pentas antarabangsa.
Beza dengan kita di Malaysia, tidak ramai profesional dan golongan intelektual yang menceburi bidang penulisan kreatif berkongsikan pengalaman dan ilmu pekerjaan mereka dalam bentuk penceritaan fiksyen. Penulisan yang berhubung (connected) dengan pembaca dan 'move' mereka. Yang menulis akademik sangat sukar untuk menulis fiksyen, menyebabkan pemindahan ilmu menerusi penceritaan itu tidak berlaku, walaupun di dalam negara kita sendiri.
7) Budaya dan ekonomi membaca
Sudah tentu budaya sesebuah negara akan menentukan ekonomi industri buku negara tersebut. Membaca adalah satu budaya yang membumi di Barat. Penerbit, penulis, editor dan jurnalis ketika mendengar bual bicara mereka, boleh petik apa sahaja buku yang popular, dan ternyata mereka tahu kontennya. Kita tahu akan buku yang popular tapi masih banyak belum membacanya.
Dari sudut ekonomi, harga buku mereka ternyata murah dibandingkan dengan gaji mereka. Jika gaji bersih dalam Euro 2000, harga buku Euro 6. Gaji rakyat Malaysia yang bekerja sebagai pencuci rumah/kedai atau pembantu restoran pun mendapat dalam Euro 500-1000. Harga buku sangat murah. Berbeza dengan kita.
Bila banyak membaca, akan wujudkan budaya ingin tahu dan inginkan lebih daripada buku. Dari situ penulis akan berusaha sajikan lagi penulisan berkualiti tinggi yang tak disangkakan. Cycle itu akan menumbuhkan budaya keilmuan, pemikiran, intelektual yang sekaligus membangunkan ekonomi industri buku dan negara.
Pembaca bijak akan menolak penulis untuk menulis content yang bijak, menjadikan ramai orang masih memerlukan buku dalam pembangunan diri mereka. Buku bukan lagi komoditi kehendak, tetapi keperluan. Industri buku di Malaysia semakin jatuh dan seringkali yang dilihat antara booster penyelamatnya adalah dana kerajaan. Tetapi industri buku di Barat agak stabil jika tidak meningkat. Paling penting, ia berkembang secara organik dan real. Ini kerana budaya. Ini kerana rakyat mereka memilih untuk menjadi pandai dengan membaca. Ekosistem yang menjadikan penulis fokus menulis konten yang mampu membangunkan rakyat negaranya.
8) Jual hak cipta tak kaya.
Tetapi jual banyak hak cipta ke pelbagai negara, boleh.
Ramai terpancing dengan merasa bangga jika karya buku mereka dapat terjual atau terpamer di kedai buku negara luar. Tetapi hakikatnya, buku dari Malaysia dikira sebagai buku niche dalam market Eropah. Disebabkan itu penjualan hak cipta berbaloi dari sudut kosnya jika dapat terjual kepada lebih 10 negara pada jumlah 3000 naskhah setahun setiap satunya.
Untuk genre Islamik seperti IMAN sendiri, sangat sukar mencapainya. Aktiviti ke pesta buku seperti ini adalah aktiviti bakar duit untuk capai cita-cita jangka masa panjang. Perlu buat, tetapi lambat buahnya untuk masak apatah lagi untuk dirasai nikmatnya. Tak ramai tahu betapa susahnya karya Malaysia nak tembus pasaran dunia, terutama kualiti konten kita masih jauh dari tahap pembacaan rakyat Eropah.
9) Take home message untuk rakyat Malaysia
a) Kota Buku Dunia 2020 adalah Kuala Lumpur. Ia adalah satu pemangkin untuk rakyat Malaysia sedari bahawa mereka perlukan buku untuk membangunkan diri dan negara kita ke persada dunia.
b) Pembaca yang berkualiti akan terlahir dengan konten berkualiti. Ini bermula dengan penulis yang berkualiti. Penulis yang berusaha untuk keluarkan konten yang mendidik dan disokong oleh penerbit yang mahu melaburkan masa dan wang ke arah itu.
c) Pasaran ASEAN sangat besar ; 647 juta penduduk, berbanding jumlah penduduk Eropah 741 juta. Tetapi jualan buku terkumpul untuk satu ASEAN hanya Euro 1.2 billion, berbanding dengan syarikat Bertelssman di Germany, Euro 3.6 billion setahun. Trading dan terjemahan buku diantara sesama negara ASEAN tersangat lemah. Kos untuk terjemahan dan pengedaran buku sangat tinggi menyebabkan perkongsian ilmu sangat sukar berlaku.
d) FBF menunjukkan tahap kita masih jauh ke belakang. Jika kita ingin menang, kita perlu ubah mindset, perlu ubah cara kerja dan perlu ubah business model untuk lahirkan penulis lokal yang berkualiti. Agar satu waktu nanti, berlumba-lumba penerbit Barat mahu membeli karya terbitan Malaysia.
e) Perkara di atas boleh dibuat dengan kolaborasi antara penulis di universiti atau golongan profesional dan penerbit komersial - content provider dan penjual yang mengenal pasaran, supaya kualiti konten yang tinggi boleh memberi kesan kepada rakyat kebanyakan. Setakat ini dahulu catatan pertama.
Saya akan kembali bertugas sebagai doktor dan pensyarah setelah seminggu berjuang di dalam dunia buku.
Sehingga posting seterusnya,
Aisyah Z/Muharikah Frankfurt,
16-20 Oktober 2019
Founder Iman Shopee & Iman Publication serta penulis di Iman Publication.
Sample Block Quote
Praesent vestibulum congue tellus at fringilla. Curabitur vitae semper sem, eu convallis est. Cras felis nunc commodo loremous convallis vitae interdum non nisl. Maecenas ac est sit amet augue pharetra convallis nec danos.
Sample Paragraph Text
Praesent vestibulum congue tellus at fringilla. Curabitur vitae semper sem, eu convallis est. Cras felis nunc commodo eu convallis vitae interdum non nisl. Maecenas ac est sit amet augue pharetra convallis nec danos dui.
Cras suscipit quam et turpis eleifend vitae malesuada magna congue. Damus id ullamcorper neque. Sed vitae mi a mi pretium aliquet ac sed elitos. Pellentesque nulla eros accumsan quis justo at tincidunt lobortis denimes loremous. Suspendisse vestibulum lectus in lectus volutpat, ut dapibus purus pulvinar. Vestibulum sit amet auctor ipsum.