3 Nasihat Buat Para Graduan

0 comments

Tiba sudah musim graduasi. Sebahagian daripada kita mungkin sudah mula memikirkan gaya-gaya menarik dan langka (rare) yang bakal menghiasi gambar-gambar kenangan bersempena tamatnya pengajian di institusi pengajian tinggi masing-masing.

Manakan tidak, setelah bertahun-tahun menahan ngantuk menyiapkan kerja kursus dan projek akhir semester, berbaldi-baldi air mata dan peluh ditadah demi segulung ijazah. Manakala buat graduan ijazah kedua dan ketiga pula, lega tidak terkata setelah berkali-kali mengulang tulis kajian yang tak kunjung siap.

Alhamdulillah, itu sahaja kata yang dapat menyimpulkan segenap kesyukuran dan kepuasan yang terbuku dalam hati.

Buat para graduan, saya kongsikan 3 nasihat berikut;

1. Ilmu yang paling baik, adalah ilmu yang bermanfaat.

Menurut Baginda SAW, satu per tiga amal yang tidak mati oleh kematian kita kelak adalah ilmu yang memberi manfaat. Manakala dalam hadis yang lain, kesempatan seseorang umat Nabi SAW untuk beramal di muka bumi ini adalah sehingga umurnya sekitar 60 dan 70 tahun.

Menginsafi kelemahan diri dan lalainya hati ini, tidakkah kita merasakan betapa kasihnya Allah SWT kepada hamba-Nya dengan memberi peluang kepada hamba untuk memanjangkan hayatnya dengan memberi ilmu yang bermanfaat kepada orang lain. Apakah lagi tujuan kehidupan ini melainkan bagi mencapai keredaan Allah SWT yang membawa kita ke syurga-Nya, bukan?

Dalam kesempatan yang lain, Baginda SAW mengingatkan kita, ( خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناس)
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain.”

Oleh itu, carilah segala ruang dan peluang yang ada di sekitar kita untuk menjadi individu yang bemanfaat. Sebagai tanda syukur pada nikmat ilmu dan usia yang diberikan pada kita.

2. Jangan terlebih berbulan madu.

Seorang graduan, berhak untuk menghayati hari-hari kejayaannya. Layak juga untuk seseorang graduan bergembira bersama rakan-rakannya, keluarga, sebahagiannya ada yang meraikan dengan makan besar dan melancong.

Tetapi jaga-jaga ya, jangan lama-lama. Hidup anda akan cepat beralih daripada alam pengajian yang memberikan perhatian kepada soal bilik kuliah, kerja kursus dan hal ehwal mahasiswa, kepada alam kerjaya dan berkeluarga yang menuntut kemahiran yang tentu sekali berbeza.
Ini adalah kehidupan yang dilalui oleh setiap insan, semakin meningkat umur semakin meningkat juga tanggungjawab dan cabaran hidupnya.

Hal ini tidak termasuk dengan aktiviti kemasyarakatan dan aktivisme yang juga merupakan salah satu daripada domain kehidupan manusia yang seimbang dan menyeluruh. Lebih-lebih lagi, ia menuntut kemahiran pengurusan hidup yang tinggi.

Selari dengan ayat ke-7 Surah Al-Syarh,( فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ ) “Dan jika engkau telah selesai (melakukan suatu urusan), maka bersungguh-sungguhlah engkau (melakukan urusan yang lain).”

3. Hanya graduasi, bukan tamat belajar.

Awas, jangan terkeliru antara hari graduasi dengan hari tamat belajar.

Ahli hikmah mengatakan, “Tuntutlah ilmu, daripada lahir hingga ke liang lahad.” Sebahagian ahli hadis mengatakan kata hikmah ini terkandung maknanya dalam hadis,
(طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ وَمُسْلِمَةٍ) “Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim.”

Kita dapat perhatikan bahawa Nabi SAW sendiri melalui proses menuntut ilmu yang sama dengan mengetahui bahawa dengan tamatnya penurunan Al-Quran, menandakan dekatnya saat kewafatan Baginda SAW. Ia memberi erti bahawa Baginda SAW sendiri menuntut ilmu khususnya daripada Allah SWT, iaitu penurunan wahyu sepanjang 23 tahun lamanya.

Maka jangan berhenti menuntut ilmu, sekalipun anda seorang graduan PhD. Teruskan meneroka lautan ilmu tanpa henti.

Akhir sekali, saya adalah orang pertama yang membaca nasihat ini sekaligus yang paling layak menerima nasihatnya. Juga jutaan tahniah buat para graduan di pelbagai peringkat pengajian, mohon doakan juga saya agar dilancarkan graduasi yang juga tak kunjung tiba ini.

 
Editor Iman Publication

Leave a comment

All blog comments are checked prior to publishing
You have successfully subscribed!
This email has been registered