Ada Apa dengan #ArkitekJalanan?

Posted by on

Kita selalu nampak kejayaan seseorang pada skrol ijazah yang mereka genggam, pada pengikut mereka yang bertambah ramai dan pada cerita-cerita indah dan manis tentang perjalanan hidup mereka.

Sama ada orang-orang yang berjaya ni sengaja sembunyikan cerita pahit atau kisah gagal mereka ataupun kita si pembaca memang tidak gemar cerita sebegitu. Lagi seronok baca cerita bila dah berjaya. Katanya inspirasi.

 

Ironinya, setiap dari kita tahu, tidak ada kejayaan yang akan datang bergolek tanpa usaha jerih payah yang berterusan walaupun dilibas badai ombak berkali-kali.

Untuk itu, kredit perlu diberikan kepada Teme atau rakan mat salleh memanggilnya ‘Tomato’ kerana berani meleraikan rahsia dan kisah pahit perjalanan hidup beliau sebagai penuntut ilmu untuk tatapan pembaca.

Boleh jadi kerana keberanian beliau yang jujur itu, ianya dapat dirasai oleh pembaca, sekali gus tersenarai masuk sebagai MPH Best of 2017. Satu pencapaian besar bagi seorang penulis baru sebenarnya.

arkitek jalanan mph best 2017

Sama ada ia kisah benar atau tidak, hanya Allah, Teme dan team Iman Publication sahaja yang tahu. Pun begitu, tidak keterlaluan sekiranya dikatakan, Arkitek Jalanan membentangkan sebuah kisah yang sangat dekat dengan pembaca, sehingga terasai ianya sebuah kisah benar.

Teme telah berjaya membuktikan bahawa tanpa tema dan elemen cinta antara lelaki dan perempuan, sesebuah novel masih mampu terbang jauh. Kerana selain kesinambungan plot yang menarik, impak yang diberikan oleh sesebuah novel lah yang akan menyebabkan pembaca bukan sahaja tenggelam dalam pembacaan mereka malah mendapatkan manfaat-manfaat lain. Atau dengan kata lain, bukan setakat syok habiskan membaca sesebuah buku, tetapi impak yang pembaca dapat setelah selesai membacanya.

Dan antara impak besar yang Teme tinggalkan kepada pembaca Arkitek Jalanan adalah cara dia melontarkan cetusan idea serta kritikan sosial yang disulam pada plot-plot yang menarik.

Contoh pertama yang menarik untuk dibincangkan adalah stereotyping umat Islam di Malaysia khususnya, yang melihat dakwah Islam itu hanya boleh dilakukan oleh para ustaz yang berpendidikan agama (secara formal).

Walhal dakwah itu luas dan tidak mutlak menjadi milik para ustaz sahaja. Setiap orang Islam malah mempunyai tanggungjawab yang sama rata untuk berdakwah. Tidak kira anda seorang ustaz, arkitek, ataupun seseorang yang masih lagi bergelar pelajar.

Teme secara halus, jujur menasihatkan para pemuda yang semangatnya berkobar-kobar untuk berjuang dan menyumbang kepada Islam. Dia sendiri pernah berada pada fasa tersebut. Malah, kerana semangatnya yang tidak terpandu itu menyebabkan beliau gagal mendapatkan biasiswa untuk menyambung pelajaran ke luar negara. Itulah akibatnya apabila semangat yang berkobar-kobar tidak kemudi oleh hikmah dari orang yang berpengalaman.

Tema seterusnya yang cuba ditonjolkan Teme adalah manusia itu sangat memerlukan antara satu sama lain. Betapa pentingnya sahabat sejati dalam kehidupan kita. Jika dicermati watak Teme, beliau tampil kelihatan hampir sempurna dan nampak ‘baik’ sahaja. Sering saja memberi nasihat dan tazkirah kepada rakan baiknya Ahmad.

Contohnya ketika lawatan mereka ke Portugal untuk satu kerja kursus kumpulan mereka, Ahmad hampir putus asa kerana sehingga tahun akhir pengajiannya, beliau masih gagal melukis secara natural dengan tangan. Hampir saja dia drop out daripada pengajiannya. Teme selaku kawan baiknya cuba memujuk Ahmad.

Keadaan sama juga ketika Ahmad perlu menghantar kerja kursus dengan lukisan tangan. Ahmad sangat tertekan. Begitulah keadaannya dalam banyak lagi situasi lain. Teme sentiasa ada dan tenang menasihati sahabatnya. Walaupun dalam keadaan dia sendiri sedang bergelut dengan masalah sendiri. Daripada sisi pandang watak Ahmad, Teme sentiasa berperwatakan seperti abang, ayah, guru dan malah ustaz!

Tetapi, ada satu sisi Teme yang akhirnya ditonjolkan, menunjukkan dia juga sama seperti manusia biasa yang lain, pasti ada masa tertekan dan rasa putus asa. Ia berlaku apabila Teme mendapat ‘D’ bagi salah satu kerja kursusnya. Teme terus kemurungan kerana dia tidak pernah menyangka perkara itu akan terjadi. Teme bersungguh-sungguh menyiapkan tugasannya.

Akibatnya, Teme memilih untuk menyendiri pada hari-hari berikutnya. Memerap di dalam bilik. Tidak ke kuliah. Malah manuskrip buku ‘Penulis Jalanan’ yang telah hampir siap itu pun dibuangnya. Padanya, kerana terlalu asyik menulis manuskrip buku itulah yang membuatkan dia tidak dapat fokus menyiapkan kerja kursusnya. Teme betul-betul patah semangat.

pelukis jalanan

Pada waktu ini, Ahmad pula yang cuba menasihatkan dan memberi dorongan kepada Teme. Walaupun cara Ahmad lebih kepada mencabar Teme supaya lebih kuat dan berani, ternyata cara itu berkesan. Sahabat yang sejati itu bukan bersama kita di waktu kita senang saja, tetapi dia juga adalah orang pertama yang menghulurkan tangan di saat kita susah.

Sebenarnya banyak lagi pedoman, kritik sosial dan juga idea segar yang digarap dengan kemas dalam Arkitek Jalanan setebal 328 muka surat ini.

Kebolehan penulis menyusun plot-plot cerita dengan momentum yang baik hanya memberi satu antara dua maksud sahaja. Sama ada ianya memang kisah yang benar-benar terjadi kepada dirinya sendiri, ataupun sememangnya beliau seorang penulis yang hebat.

.

Buku Arkitek Jalanan boleh didapati di semua kedai buku seluruh Malaysia atau secara online di sini.

 

arkitek jalanan buku iman Buku Teme iman publication pelukis jalanan reviu buku teme abdullah

← Older Post Newer Post →

Sale

Unavailable

Sold Out