Reviu Buku

Ada Apa dengan #ArkitekJalanan? - IMAN Shoppe Bookstore

Ada Apa dengan #ArkitekJalanan?

Kita selalu nampak kejayaan seseorang pada skrol ijazah yang mereka genggam, pada pengikut mereka yang bertambah ramai dan pada cerita-cerita indah dan manis tentang perjalanan hidup mereka. Sama ada orang-orang yang berjaya ni sengaja sembunyikan cerita pahit atau kisah gagal mereka ataupun kita si pembaca memang tidak gemar cerita sebegitu. Lagi seronok baca cerita bila dah berjaya. Katanya inspirasi.   Ironinya, setiap dari kita tahu, tidak ada kejayaan yang akan datang bergolek tanpa usaha jerih payah yang berterusan walaupun dilibas badai ombak berkali-kali. Untuk itu, kredit perlu diberikan kepada Teme atau rakan mat salleh memanggilnya ‘Tomato’ kerana berani meleraikan rahsia dan kisah pahit perjalanan hidup beliau sebagai penuntut ilmu untuk tatapan pembaca. Boleh jadi kerana keberanian beliau yang jujur itu, ianya dapat dirasai oleh pembaca, sekali gus tersenarai masuk sebagai MPH Best of 2017. Satu pencapaian besar bagi seorang penulis baru sebenarnya. Sama ada ia kisah benar atau tidak, hanya Allah, Teme dan team Iman Publication sahaja yang tahu. Pun begitu, tidak keterlaluan sekiranya dikatakan, Arkitek Jalanan membentangkan sebuah kisah yang sangat dekat dengan pembaca, sehingga terasai ianya sebuah kisah benar. Teme telah berjaya membuktikan bahawa tanpa tema dan elemen cinta antara lelaki dan perempuan, sesebuah novel masih mampu terbang jauh. Kerana selain kesinambungan plot yang menarik, impak yang diberikan oleh sesebuah novel lah yang akan menyebabkan pembaca bukan sahaja tenggelam dalam pembacaan mereka malah mendapatkan manfaat-manfaat lain. Atau dengan kata lain, bukan setakat syok habiskan membaca sesebuah buku, tetapi impak yang pembaca dapat setelah selesai membacanya. Dan antara impak besar yang Teme tinggalkan kepada pembaca Arkitek Jalanan adalah cara dia melontarkan cetusan idea serta kritikan sosial yang disulam pada plot-plot yang menarik. Contoh pertama yang menarik untuk dibincangkan adalah stereotyping umat Islam di Malaysia khususnya, yang melihat dakwah Islam itu hanya boleh dilakukan oleh para ustaz yang berpendidikan agama (secara formal). Walhal dakwah itu luas dan tidak mutlak menjadi milik para ustaz sahaja. Setiap orang Islam malah mempunyai tanggungjawab yang sama rata untuk berdakwah. Tidak kira anda seorang ustaz, arkitek, ataupun seseorang yang masih lagi bergelar pelajar. Teme secara halus, jujur menasihatkan para pemuda yang semangatnya berkobar-kobar untuk berjuang dan menyumbang kepada Islam. Dia sendiri pernah berada pada fasa tersebut. Malah, kerana semangatnya yang tidak terpandu itu menyebabkan beliau gagal mendapatkan biasiswa untuk menyambung pelajaran ke luar negara. Itulah akibatnya apabila semangat yang berkobar-kobar tidak kemudi oleh hikmah dari orang yang berpengalaman. Tema seterusnya yang cuba ditonjolkan Teme adalah manusia itu sangat memerlukan antara satu sama lain. Betapa pentingnya sahabat sejati dalam kehidupan kita. Jika dicermati watak Teme, beliau tampil kelihatan hampir sempurna dan nampak ‘baik’ sahaja. Sering saja memberi nasihat dan tazkirah kepada rakan baiknya Ahmad. Contohnya ketika lawatan mereka ke Portugal untuk satu kerja kursus kumpulan mereka, Ahmad hampir putus asa kerana sehingga tahun akhir pengajiannya, beliau masih gagal melukis secara natural dengan tangan. Hampir saja dia drop out daripada pengajiannya. Teme selaku kawan baiknya cuba memujuk Ahmad. Keadaan sama juga ketika Ahmad perlu menghantar kerja kursus dengan lukisan tangan. Ahmad sangat tertekan. Begitulah keadaannya dalam banyak lagi situasi lain. Teme sentiasa ada dan tenang menasihati sahabatnya. Walaupun dalam keadaan dia sendiri sedang bergelut dengan masalah sendiri. Daripada sisi pandang watak Ahmad, Teme sentiasa berperwatakan seperti abang, ayah, guru dan malah ustaz! Tetapi, ada satu sisi Teme yang akhirnya ditonjolkan, menunjukkan dia juga sama seperti manusia biasa yang lain, pasti ada masa tertekan dan rasa putus asa. Ia berlaku apabila Teme mendapat ‘D’ bagi salah satu kerja kursusnya. Teme terus kemurungan kerana dia tidak pernah menyangka perkara itu akan terjadi. Teme bersungguh-sungguh menyiapkan tugasannya. Akibatnya, Teme memilih untuk menyendiri pada hari-hari berikutnya. Memerap di dalam bilik. Tidak ke kuliah. Malah manuskrip buku ‘Penulis Jalanan’ yang telah hampir siap itu pun dibuangnya. Padanya, kerana terlalu asyik menulis manuskrip buku itulah yang membuatkan dia tidak dapat fokus menyiapkan kerja kursusnya. Teme betul-betul patah semangat. Pada waktu ini, Ahmad pula yang cuba menasihatkan dan memberi dorongan kepada Teme. Walaupun cara Ahmad lebih kepada mencabar Teme supaya lebih kuat dan berani, ternyata cara itu berkesan. Sahabat yang sejati itu bukan bersama kita di waktu kita senang saja, tetapi dia juga adalah orang pertama yang menghulurkan tangan di saat kita susah. Sebenarnya banyak lagi pedoman, kritik sosial dan juga idea segar yang digarap dengan kemas dalam Arkitek Jalanan setebal 328 muka surat ini. Kebolehan penulis menyusun plot-plot cerita dengan momentum yang baik hanya memberi satu antara dua maksud sahaja. Sama ada ianya memang kisah yang benar-benar terjadi kepada dirinya sendiri, ataupun sememangnya beliau seorang penulis yang hebat. . Buku Arkitek Jalanan boleh didapati di semua kedai buku seluruh Malaysia atau secara online di sini.  

Keep reading
REVIU BUKU: Empayar – Hikayat Putera Tanpa Nama - IMAN Shoppe Bookstore

REVIU BUKU: Empayar – Hikayat Putera Tanpa Nama

Teme Abdullah. Pertama kali mengenali tulisannya adalah dari karya pertamanya, Pelukis Jalanan. Sejak itu, saya jadi senang dengan penulisannya. Merendah diri dan menyentuh hati menjadi elemen wajib dalam penceritaannya. Begitu juga dalam karya terbarunya, Empayar – Hikayat Putera Tanpa Nama. Ini kali pertama Teme menulis karya fiksyen, selepas tiga tajuk dalam siri kisah anekdot Jalanan. Mengisahkan kehidupan para penuntut pesantren yang diberi nama Madrasah Tamingsari. Bergenre drama religi dan fantasi pasca-apokalips. Tetapi, jangan sangka ia cerita aksi fantasi seperti digambarkan dari kulit buku. Hal ini salah misinterpretasi saya sendiri sebenarnya. Haha! Membaca cerita ini, buat saya teringat dengan karya Paulo Coelho. Ada nilai indah, sesuai dengan tajuknya, ‘hikayat’. Bezanya cumalah indah Paulo bersifat surreal. Kadang macam tak faham apa yang mahu disampaikan. Mungkin saya sendiri yang belum cukup faktor kematangan (dan daya imaginasi luar norma) untuk menghayatinya. Teme pula menggunakan pendekatan realis sekalipun menulis cerita fantasi. Bagi mereka yang tak biasa menghadam karya fantasi, karya ini ibarat salam perkenalan ke suatu dunia cerita yang bukan berkisarkan kejadian di alam nyata. Secara peribadi, Empayar ibarat gabungan manga 07-Ghost karya Yuki Amemiya dan Yukino Ichihara, dan siri novel ringan Grimgar of Fantasy and Ash karya Ao Juumonji. 07-Ghost kerana menggunakan pusat agama (madrasah) sebagai latar tempat utama. Grimgar kerana cerita ini tidak begitu mementingkan ‘world-building’, tetapi menekankan interaksi serta perkembangan watak di dalam dunia cerita. Pendek kata, kisah kehidupan seharian di alam fantasi. Secara keseluruhan, rating saya adalah 4/5 bintang. Dari segi teknik penulisan, tak banyak benda saya boleh beri komen. Ayat visual yang ringkas dan padat. Deskripsi yang asas. Cerita berpandukan dialog. Transisi cerita yang laju dan kemas. Itu saja. Which is good, I guess? Dari segi jalan cerita, ada dua perkara. Kejutan plot menarik, tetapi sebenarnya sudah boleh dijangka dari awal. Namun ia bukanlah masalah. Plot twist hanya antara pilihan dalam rencah cerita. Dan ini bukannya hasil cerita thriller yang wajib buat pembaca sakit kepala. Kemudian, konflik. Jujur cakap, agak simplistik. Skala konflik tidak sebesar seperti klise dalam cerita epik. Perang beberapa kuasa monarki untuk rebut kerusi takhta. Perang haq dan batil ala-ala kisah pahlawan. Sekali lagi, tetaplah bukan masalah. Cuma agak kurang puas kerana fokus konflik hanya berlaku di dalam madrasah semata-mata. Jenis konflik pula tidak lebih dari sekadar perdebatan agama mengenai isu haram cinta. Agak sayang di situ kerana ini menyebabkan deskripsi mengenai situasi dunia kerajaan Adharapura tidak diberikan gambaran yang seharusnya. Tetapi sebab penamat ceritanya yang tergantung, mungkin ia akan difokuskan dalam sekuel? Harapnya adalah sambungan. Sekalipun begitu, apa yang menarik minat saya adalah kepelbagaian dari barisan wataknya. Si penunggang agama yang memanipulasikan ilmu agama untuk mencapai kepentingan peribadi. Kemasyhuran pangkat, merebut cinta dan kebanggaan diri. Berhujah pula menggunakan emosi dan nas-nas serta ayat Al-Quran semata-mata. Sudahlah ilmu cetek, perspektif hidup sempit, hadam ayat Al-Quran secara nilai Islamik sahaja. Sama macam orang-orang itu, kan? Si orang ‘biasa’ yang berhujah dengan menggunakan hujah logik akal dan fitrah manusiawi. Bukan jenis yang baca ayat Al-Quran penuh hanya untuk menampakkan betapa hujah yang diberi itu sungguh Islamik bunyinya. Nas-nas dan ayat Al-Quran digunakan sebagai pengukuh buat hujah akal agar tidak lari dari disiplin ilmu agama. Si konservatif yang sekadar menilai betapa beragamanya seseorang melalui pandangan literal semata-mata. Kalau ditonjolkan perangai baik dan Islamik, maka beragamalah dan tinggilah darjat orang itu. Sekalipun peribadi adalah sesuatu yang boleh dilakonkan. Si pencari yang keliru antara dua hujah yang berlawanan. Yang ini cakap tak boleh, yang itu cakap boleh pula. Jadi siapa yang benar? Padahal dua-dua ada hujah. Ibarat orang awam yang tak faham kenapa ulama’ mahu bergaduh beri label sesama sendiri, dan akhirnya mereka sendiri tak faham apa itu Islam sebenarnya. Setiap watak digambarkan berdasarkan jenis manusia yang wujud dari sudut sikap mereka terhadap agama. Orang sebegini ada di sekeliling kita, atau boleh jadi adalah diri kita sendiri. Setakat itu saja reviu saya. Saya amat menyukai Empayar: Hikayat Putera Tanpa Nama. It was a fulfilling read. Harap Teme terus berkarya, dan terus boleh buat saya cemburu (baca: kagum) dengan hasil penulisannya. Sebagai penulis pemula, saya terinspirasi dengan karya ini. Tak dinafikan isi cerita agak ‘preachy’, tapi rasanya kalau mahu berdakwah, apa lagi cara yang ada sebenarnya? Cara yang dikatakan lebih baik itu pun sama saja macam sifat khutbah, ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Dan sebenarnya, penulis mana yang tak ‘preachy’ kalau mahu sampaikan sesuatu dalam karyanya? Oh ya, Teme, terima kasih atas tandatangannya. Lawa tulisan kau. Hasif Rayyan21/5/2018; 11:47 PM . Sumber reviu buku ini diambil dari Facebook Hasif Rayyan di sini. . Novel #Empayar boleh didapati di semua kedai buku seluruh Malaysia atau online di sini, http://bit.ly/novelempayar

Keep reading