Jujur, ada air mata sewaktu membaca. Jujur, ada muka surat yang buat hati saya terkedu seketika. Jujur, secara spontan saya mengiyakan baris-baris ayat dalam buku ini.
Barangkali inilah jalan-jalan dewasa. Saat kita tak punya pilihan kedua. Hanya satu; melepaskan demi menyembuhkan luka. Demi mendapatkan sebenar-benar bahagia.
“Jangan terbiasa berpura-pura untuk bahagia, kelak kita keliru yang mana bahagia sebenar dan yang mana tidak.” - Hafizul Faiz.
Ayat seringkas itu terus mengingatkan saya dengan salah satu sesi dengan terapis. Saya luah;
“Kadang bila saya bahagia, saya mesti fikir betul ke saya tengah bahagia?”
Sejauh itu hati yang memendam luka sedang menafikan bahagia. Sejauh itu fikiran sedang terluka. Kerana banyak beban dalam fikiran tidak berjaya dilepaskan.
Tentang apa pun kepergian, kehilangan, kematian, dan hal-hal untuk melepaskan; ternyata ada lebih banyak luka berbanding bahagia.
Kerana ya, itu semua menjadikan kita lebih dewasa; yang tahu usap air mata, yang tahu memujuk jiwa dan yang tahu setiap takdir Dia sentiasa bawa hikmah bersama.
Paling penting, yang tahu untuk kembali menyayangi diri dan memilih diri sendiri berbanding perkara-perkara yang lebih melukakan.
Untuk kamu, ya, kamu yang akan atau sedang baca buku ini, berdamailah saat membacanya. Fahamilah ada pesanan yang memang ditakdirkan untuk sampai kepadamu dan memujukmu.