Tahun Terbitan: 2026
Bahasa: Melayu
ISBN: 97727165426
Bil. Muka surat: 70
Format: Paperback
Harga: RM25
Berat: 0.7kg
Sinopsis
NOTA EDITOR
Ini kali pertama Svara memusatkan tumpuan hanya kepada tiga orang tokoh sahaja, sebagai teras kandungan bagi edisi ke-17 ini. Hanya tiga orang, dengan sorotan hal-hal berkaitan mereka semata-mata, dan tak lebih daripada itu.
Yang pertama adalah tentang Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang pada tahun 2024 telah dikurniakan gelaran Profesor Diraja oleh kerajaan Malaysia. Beliau merupakan orang kedua yang menerima gelar itu, selepas Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978. Sepanjang usianya yang bakal mencecah angka 95 tahun ini, dan melalui buah fikiran yang telah disyarah, ditulis dan diterbitkan, beliau telah banyak mengocakkan perbincangan intelektual dan falsafah Islam yang kemudiannya melimpahkan pengaruh ke dalam cara hidup masyarakat, serta membentuk dasar dalam kerajaan dan memberi kesan sosial yang dapat kita teliti hari ini—sama ada daripada kelompok yang bersetuju dengannya, atau daripada golongan yang berseberangan pendapat; dan dari dalam negara mahupun di lapangan mendunia.
Svara edisi kali ini—dalam cara yang sederhana—ingin meraikan dan memberi penghormatan terhadap semua pencapaian tersebut, ketika hayatnya. Bahagian tulisan-tulisan berkaitan beliau yang termuat ini dihasratkan sebagai pembuka jalan kepada generasi yang jauh lebih muda (usia atau bahkan perkenalan dengan karya-karyanya) untuk mengenali sedikit sebanyak sisi yang membangunkan tanggapan yang pelbagai tentang idea yang dibawa. Untuk itu, kami menghimpunkan pandangan-pandangan dari kelompok berbeza—anak murid, pengkagum, pengkritik, peneliti serta orang-orang yang berminat untuk menyatakan pandangan yang berbeza—sebuah keraian yang selalu ingin dipertahankan.
Bahagian kedua pula ditujukan kepada dua orang lagi pengarang besar, yang pada tahun 2025, telah menyambut ulang tahun kelahiran ke-100. Dalam cara yang tersendiri, mereka juga telah memberi kesan dan sumbangan yang bukan kepalang, kali ini di ranah sastera serantau dan dunia.
Kepada yang mengenali, atau cukup sekadar sebagai pembacanya, Arena Wati adalah seorang pengarang yang tekal dan cekal. Dari perwatakan, penulisan, fikiran serta tindakan, semua itu dibentuk oleh dua persekitaran yang saling berseberangan: samudera dan daratan. Sehinggalah pada tahun 1949 ketika beliau memutuskan untuk menjadi penulis, khalayak bertalu-talu dihidangkan dengan bauran dari dua daerah itu, yang disatukan dan dipersembah dalam bentuk tulisan-tulisannya yang diwarisi hingga ke hari ini. Satu daripada esei yang termuat adalah dari Siri Syarah Kebudayaan 2025: Gelora Laut dan Tekad Anak Jantan yang disampaikan oleh Sasterawan Negara Dr. Anwar Ridhwan yang turut diterbitkan dalam edisi ini, serta beberapa tulisan lain yang menyingkap sudut berbeza seorang pengarang yang sama.
Pengarang yang terakhir ialah Yukio Mishima, sang nasionalis tegar dari Jepun yang hidup dan bernafas dalam kepercayaan dan tradisi yang ketat: sesuatu yang dihirupnya seperti udara, ditelannya untuk mendarah daging. Sebuah cerpennya mungkin menjelaskan perkara itu, dan boleh dijadikan sebagai pintu masuk bagi yang belum pernah berkenalan dengannya: Patriotism. Ini menjadi saksi kepada kepercayaan yang kemudian ditindakkan sendiri sebagai penzahiran kata-kata: sebuah kecintaan yang tidak akan difahami ramai orang, tetapi cukup membahagiakan Mishima sendiri, yang dianut hingga ke titisan darahnya yang terakhir.
—Hafiz Hamzah, 29 Disember 2025