Kisah menarik Raja Najasyi serta para pendeta dan rahib Kristiannya yang menangis setelah mendengar kisah Maryam dari surah ini dibacakan, lantas terus memeluk Islam menjadi pembuka yang menarik di Juzuk 7 ini. Dapat juga diteladani bahawa telah lama wujud konsep 'suaka agama/politik' pada ketika itu apabila Rasulullah memohon kepada Raja negara Habsyah itu untuk melindungi gerombolan yang diutuskan Nabi tersebut dari gangguan wakil pihak Quraisy yang turut berada di Habsyah juga pada ketika itu.
Kisah keIslaman Salman Al-Farisi yang terhutang budi dengan seorang pendeta Nasrani di Baitulmaqdis juga antara kisah sirah yang menarik untuk dibaca.
Tegahan Allah dalam melarang kita untuk tidak mengharamkan yang halal, antara firman lain yang tidak kurang pentingnya. Mengharamkan diri memakan sesetengah jenis makanan, mengharamkan diri untuk bersama isteri, mengharamkan diri untuk berkahwin dan sebagainya, amat dilarang. Allah memerintahkan kita supaya hidup bersederhana, namun raikanlah juga kehidupan di dunia ini sebagaimana manusia biasa. Tidak terlampau bebas, dan tidak terlampau ketat juga. Berkahwinlah & tunaikan hak isteri-isteri bila diminta. Makan sahaja makanan yang telah dihalalkan untuk dimakan, dengan tidak berlebih-lebihan dan membazir . Kerana untuk mencapai keredhaan Allah, kehidupan didunia perlu dipergunakan sebaiknya. Tidak perlu terlalu asyik untuk beribadah sehingga ingin mengikut cara para rahib & pendeta Nasrani & Yahudi.
Perihal sumpah berkaitan perkara di atas juga diterangkan dalam ayat seterusnya. Bagaimana jika sumpah yang tidak sesuai atau sumpah yang dilanggar perlu dibayar kafarahnya. Selain itu keterangan lanjut berkenaan sumber makanan ketika berihram di tanah suci dilanjutkan, demi menjaga kehormatan Baitullah. Peringatan Allah untuk mempertahankan iman walaupun dikelilingi keburukan yang dominan dan mengasyikkan, sedangkan perkara kebaikan sangatlah sedikit. Larangan dari banyak bertanya di dalam beragama. Jika dahulu dengan Rasulullah, masa kini dengan agamawan. Yang jelas haram & ditegah janganlah dibuat, selain itu berijtihadlah kita sendiri berdasarkan ijtima ulama & kecerdasan akal sendiri, disamping sentiasa tingkatkan diri dengan ilmu.
Penutup surah Al-Maidah menunjukkan penegasan Nabi Isa berkenaan isu penyelewengan penganutnya yang menganggap baginda & ibunya Siti Maryam sebagai Tuhan selepas kewafatan Nabi, dari perbualan baginda dengan Allah yang menjelaskan lagi pendirian Islam berkaitan isu besar di dalam agama Kristian ini. Bahawa agama Nasrani selepas kewafatan baginda bukanlah ajaran sebenar yang beliau bawa sewaktu baginda hidup. Ianya telah diseleweng lama selepas baginda wafat.
Untuk surah seterusnya surah ke-6, sedikit fakta yang menarik berkenaan Surah Al-An'am ini. Surah terpanjang yang diturunkan sekaligus pada satu malam kepada Rasulullah, dengan 165 ayat. Rasulullah yang pada ketika itu sedang menunggang unta terus terhenti, hingga tidak dapat bergerak unta tersebut kerana tingginya beban yang ditanggungnya ketika Nabi menerima wahyu itu. 70,000 malaikat mengiringi ketika wahyu itu diturunkan, sambil bertasbih memuji Allah sehingga bergegar seluruh pelusuk langit. Menunjukkan betapa tingginya martabat & kepentingan surah ini.
Surah yang diturunkan ketika Nabi masih di Mekah ini bagi menguatkan lagi pegangan akidah umat Islam pada ketika itu. Ketika penganut Islam masih sedikit, Rasulullah masih menerima tentangan yang hebat dari kafir Quraisy. Jika empat surah panjang sebelumnya lebih kepada aspek teknikal & fikah dalam hidup bermuamalat dan bernegara Islam, surah ini pula lebih kepada aspek rohani & ketauhidan Islam.
Kesimpulannya dari 110 ayat pertama surah ini, Allah ingin berikan kekuatan kepada Nabi dalam menjalankan tanggungjawab dakwahnya di Mekah pada ketika itu. Abaikan kafir Quraisy yang suka mengolok-olokkan baginda, fokus pada tugasnya sahaja. Untuk terus menyampaikan berita gembira pada yang tunduk, serta memberi ancaman & peringatan keras pada yang ingkar.
Surah ini menegaskan lagi bahawa baginda juga cuma manusia biasa. Adakalanya baginda tetap merasa sedih dan rasa tidak berupaya apabila ajakan kembali kepada fitrahnya tidak disambut baik oleh kaumnya. Baginda juga tidak berkuasa untuk campurtangan dalam hal pentadbiran alam oleh Allah, tidak tahu perkara yang ghaib, serta bukanlah malaikat. Rasullulah juga manusia seperti kita.
Kisah kepekaan Nabi Ibrahim sejak beliau kecil dalam mencari Tuhannya, walaupun melawan arus kepercayaan lama bangsa asalnya, iaitu bangsa Kaldan (di Aleppo, Syria kini), juga antara kisah iktibar yang membuka mata. Bagaimana suci & cepat matangnya hati baginda dalam mencari kebenaran, hinggakan sedari kecil beliau telah cakna akan perihal itu.
Tidak hairanlah kenapa Nabi Ibrahim darjatnya diangkat lebih tinggi oleh Allah diantara sekalian para Nabi. Hinggakan banyak doa-doa dari baginda yang dimakbulkan Allah, yang diantara kesannya dapat kita rasai hingga ke hari ini. Keberkatan...