Bacaan yang agak santai namun sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada kita mengenai kematian. Terdapat 12 bab ringkas yang boleh membantu kita memahami maksud "Adakah kita Bersedia untuk Mati?"
Didalam dunia ini, sebagai manusia biasa yang tidak terlepas dari tipu daya syaitan, pastinya saya secara peribadi agak terkesan ketika membaca buku ini. Seringkali diri ini terlupa betapa syaitan itu mempunyai pengalaman yang luas dalam menghasut manusia sejak dari zaman Nabi Adam lagi. Oleh itu, kita perlu lebih mengenal diri sendiri dan memcari 2 titik utama iaitu titik kelemahan dan kekuatan sendiri. Janganlah sesekali kita memandang rendah akan kebijaksanaan syaitan.
Bukankah cukup kematian itu sebagai peringatan buat seluruh umat manusia? Ya, kadang kala dalam kesibukan kita mencari nafkah dan menguruskan hal duniawi, kita sering terlupa mengenai kematian. Al-Daqqaq berkata, sesiapa yang banyak mengingati mati, akan dimuliakan dengan 3 perkara: (1) Allah akan memuliakan dirinya dengan menyegerakan taubat (2) Rasa cukup dalam jiwanya (3) Rajin beribadah. Manakala pada sesiapa yang sengaja melupakan kematian, Allah akan membalasnya dengan 3 perkara: (1) Dia akan melengah lengahkan taubat (2) Rasa tidap cukup dengan apa yang ada (3) Bermalas malasan dalam beribadah. Seperti pemberian Hidayah, urusan kematian juga merupakan milik mutlak Allah. Namun begitu, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam ibadah. Moga Allah memberi ganjaran terhadap usaha kita yang mungkin tidak seberapa. Perbanyakkan bersabar dan merasa bersyukur kerana Allah memuji khusus 2 sifat ini.