Betulkah Cara Kita Menyambut Maulidur Rasul Selama Ini?

Ketibaan Rabi’ul Awwal mengingatkan kita akan kelahiran Nabi Muhammad SAW, utusan Allah SWT bagi menyampaikan risalah-Nya kepada manusia. Hari Isnin, bulan Rabi’ul Awwal, Tahun Gajah adalah hari yang bertuah itu. Di kota yang sarat Jahiliah, lahir seorang insan pengubah sejarah yang kelak apabila menginjak umur dewasa akan membimbing kegelapan Makkah menuju ke cahaya terang-benderang yang dibawa Islam.

Saban tahun kita mengulang-ulang sambutan kelahiran Nabi kita, SAW. Pelbagai acara mewarnai sambutan ini. Antaranya perarakan dengan menjunjung kain rentang dengan hiasan-hiasan yang bersesuaian. Dianjurkan lagi acara berselawat beramai-ramai, pameran-pameran khas Maulidurrasul, pertandingan nasyid, marhaban, berkompang dan sebagainya.

Rutin yang berulang-ulang ini kadang-kala membuatkan kita terbabas mengabaikan pengertian utama sesuatu tindakan.

Seperti seorang yang memandu kenderaan juga. Oleh kerana tiap hari dia memandu, dia sudah tidak lagi betul-betul ‘khusyuk’ melihat gear di tangan kirinya, tidak lagi dia memikirkan berapa kuat kakinya memijak pedal minyak, tidak lagi mengambil masa yang lama untuk menyemak hal-hal keselamatan seperti tali pinggang keledarnya, side-mirror nya, signalnya berfungsi atau tidak dan sebagainya.

 

Kesemuanya dilakukan di bawah sedar, amat berbeza dengan saat di sekolah memandu dengan pegawai JPJ berada di sebelah mencatitkan kesilapan-kesilapan memandunya!

Itu yang kita risaukan dalam hal Maulidurrasul ini, risau ‘khusyuk’ kita hilang. Jikalau perarakan sekadar bergerak, selawat sekadar alunan suara dan pameran sekadar kenangan, kita harus memerhatikan semula acara-acara yang disusun. Oleh itu, 3 cadangan meraikan Maulidur Rasul dengan lebih bermakna :

1. Menyambut Kelahiran Nabi SAW dengan menghargai Risalah Islam

Hakikatnya, bagi menghargai kelahiran seseorang, yang dihargai adalah kesan kelahirannya kepada diri kita. Seperti seorang ibu yang anak-anak menyambut hari kelahirannya. Mengapa? Kerana tanpa ibu, tidak adalah anak, kerana ibulah yang selama ini membesarkan anak-anak, kerana ibulah yang membimbing dan memberi kenyamanan dalam hidup anak-anaknya.

Oleh itu, anak yang baik dalam menyambut hari lahir ibunya adalah anak yang mengenang kembali nasihat-nasihat dan ajaran yang ibunya telah berikan lalu dipastikan bahawa tindak-tanduknya setiap hari bertepatan dengan nasihat ibunya tadi. Bukan semata-mata bergembira dan memuja-muji ibu, tetapi kata-katanya tidak dihargai, nasihatnya tidak diambil peduli.

Seorang Umat Nabi SAW yang baik, harus mengenang nasihat-nasihat dan ajaran yang dibawa oleh Baginda kepadanya. Nasihat dan ajaran itu sendiri merangkumi keseluruhan urusan hidup kita, dari segi iman dan akidahnya, ibadahnya, urusan sesama manusia, hubungan dengan alam, haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan banyak lagi. Itulah risalah Islam. Maulidurrasul adalah ruang yang baik untuk instropeksi diri, menilai semula keseragaman hidup kita dengan ajaran yang disampaikan oleh Baginda SAW.

Barangkali ini yang dapat kita simpulkan apabila seorang Badwi bertanyakan kepada Nabi SAW akan sebab Baginda berpuasa pada hari Isnin, lalu jawab Baginda, “Aku dilahirkan pada hari ini, dan ia (Al-Quran) diturunkan kepadaku pada hari ini).” Nah, Baginda SAW juga menyambut hari kelahirannya, iaitu dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT. Baginda berpuasa, sebagai simbolik ketaatannya, dan begitu juga kita seharusnya.

2. Mendalami riwayat hidup Nabi SAW

Adalah suatu kebiasaan dalam sambutan Maulidurrasul, untuk memberikan fokus kepada Nabi SAW dari segi jasadnya. Baik dalam ceramah-ceramah yang dianjurkan dan pameran-pameran yang dijalankan. Dibukalah karangan Imam Tirmizi iaitu Syamail Muhammadiyah yang merangkumkan aspek jasad Baginda. Rambutnya bagaimana? Matanya bagaimana? Janggutnya? Apa yang dipakai Baginda? Cara jalannya bagaimana?

Dalam pameran-pameran juga dibawakan atsar Nabi yang berupa pakaian-pakaian, bekas makanan, capal, bahkan sehingga rambut dan darah bekam Baginda yang tidak dapat dipastikan kesahihan dan pembuktian sejarahnya secara santifik.

Artifak Rasulullah

Oleh kerana Baginda SAW adalah manusia, hal biologi dan fizikal adalah sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan aspek kemanusiaannya. Ada di sana aspek spiritual dan psikologinya. Belum lagi soal aspek kekeluargaan dan kemasyarakatan yang berada dalam lingkungan Nabi SAW. Ada satu jalan yang dapat menjadi pengantar kita kepada kehidupan Nabi SAW secara menyeluruh, iaitu mendalami riwayat hidup Nabi SAW. Ia dikenali sebagai Sirah Nabawiah.

3. Hari-hari adalah ‘Maulidurrasul’

Tidaklah bermakna tiap-tiap hari kita adakan perarakan, tiap-tiap hari bermarhaban dan berzanji. Sebaliknya, tiap-tiap hari harus wujud rasa cinta kepada Nabi SAW. Tiap-tiap hari juga kita akan menghargai nikmat Iman yang hanya sampai kepada kita dengan asbab wujudnya Nabi Muhammad SAW yang menyebarkannya kepada umat.

Akhir sekali, artikel ini bukanlah suatu kritikan supaya dihapuskan saja sambutan Maulidurrasul. Bukan begitu kehendaknya. Yang diingini adalah naik taraf kepada sambutan sedia ada. Ia sambutan yang baik meskipun benar dari segi sejarahnya tidak pernah disambut oleh generasi Sahabat. Bahkan tidak ada sebarang rekod sejarah berkenaan sambutannya kecuali kali pertama disambut oleh Kerajaan Syi’ah Fathimiah pada kurun ke-5 Hijrah lalu tersebar ke wilayah-wilayah Sunni dan diamalkan sehingga ke hari ini. Maka selepas ini, teruskan berarak, teruskan bermarhaban, teruskan berselawat bersempena Maulidurrasul, tetapi jangan lupa memberikan kekhusyukan yang selayaknya kepada tindakan-tindakan tersebut.

Agar Maulidurrasul memberi makna besar, bukan ritual dan solekan keagamaan semata-mata. Dengan itu, ia pasti akan menghidupkan semangat kita untuk mencontohi sebaik-baik generasi, iaitu generasi yang pernah melihat Baginda SAW dengan mata kepala mereka sendiri justeru mengangkat Nabi SAW sebagai model teladan kehidupan mereka.

Saya tinggalkan ayat di bawah untuk kita jadikan ayat tema Maulidurrasul kita:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

“Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak pula mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab: 21)

Mari memaknakan sambutan Maulidur Rasul kita!

Editor IMAN-Khubaib

Khubaib Akhi,
Editor Iman Publication.


Leave a comment