Aidiladha: Cinta, Pengorbanan & Keikhlasan

Jika Aidilfitri adalah manifestasi pembebasan diri daripada hawa nafsu, Aidiladha pula adalah manifestasi pengorbanan, kecintaan dan keikhlasan seorang pencinta kepada yang dicintainya. Zaman berzaman kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Hajar dan Nabi Ismail adalah kisah bukti cinta yang teragung. 

Bagaimana anak yang begitu dinanti bertahun lamanya, diperintah Tuhan untuk dikorbankan. Bagaimana seorang isteri dan ibu begitu sabar melepaskan anak sendiri yang sangat disayangi di sembelih di hadapan mata.

Bagaimana taat seorang anak atas perintah ayahnya. Semuanya ini didasari keimanan dan ketakwaan yang begitu teguh kepada Allah, Tuhan pencipta seluruh umat manusia.

Kisah ini adalah kisah pengorbanan kerana ketaatan dan kecintaan yang begitu mendalam kepada Allah. Besar erti pengorbanan yang dapat kita teladani dari sirah agung ini.



Pertama, setiap pengorbanan memerlukan tujuan. Ada dua elemen penting dalam sebuah pengorbanan iaitu sesuatu yang ingin dikorbankan dan tujuan yang ingin dicapai dalam sebuah pengorbanan. Berkorban membawa maksud menawarkan sesuatu kepentingan untuk diganti dengan kesusahan demi mencapai sesuatu tujuan.

Oleh itu, matlamat atau tujuan perlu jelas terlebih dahulu. Seseorang yang tidak mempunyai tujuan yang jelas, tidak akan dapat melihat apa yang ingin dikorbankan dan apa lagi melakukan pengorbanan.

Misalnya dalam kisah Nabi Ibrahim, Hajar dan Ismail, mereka jelas tentang matlamat mereka untuk mencari keredhaan Allah, oleh itu, mereka sanggup mengorbankan seluruh jiwa dan raga untuk mentaati perintah Allah.

Contoh lain yang lebih dekat dengan kehidupan harian kita adalah apabila kita menginginkan sesuatu seperti mencapai berat badan sekian sekian misalnya, kita akan sanggup melakukan apa sahaja termasuklah meninggalkan makanan kegemaran kita demi mencapai misi mencapai berat badan yang diinginkan.

Ia terasa berat dan sukar sekali. Namun, kita sanggup lakukan kerana kita mempunyai matlamat yang jelas. Jika untuk mencapai tujuan-tujuan di dunia pun kita sanggup, apa lagi untuk mencapai tujuan kehidupan akhirat kita.

 



Kedua, pengorbanan adalah bukti cinta. Semua orang boleh mengaku dia mencintai seseorang atau perkara. Pengakuan di bibir teramatlah mudah. Namun, ia perlu pembuktian.

Cinta dan sayang pada seseorang atau sesuatu perkara akan menjadikan seseorang sanggup melakukan apa sahaja untuk membuktikan kecintaannya yang dalam pada seseorang atau perkara tersebut.

Tanpa rasa cinta tersebut, pengorbanan akan menjadi begitu berat dan sukar. Misalnya dalam kisah Nabi Ibrahim, Hajar dan Ismail, pengorbanan mereka dilihat mudah kerana kecintaan mereka yang sangat mendalam kepada Allah.

Diabaikan dan ditepis segala prasangka yang dibisikkan syaitan kepada mereka untuk membatalkan hasrat mereka menyembelih Ismail.

Selain itu, kita dapat lihat bagaimana seorang ayah yang begitu mencintai keluarganya akan sanggup berkorban harta, keringat dan masa demi memberi kebahagiaan kepada keluarga tercinta.

Begitulah kita seharusnya dengan Tuhan. Mengaku mencintai Tuhan, maka harus membuktikan kecintaan tersebut melalui perbuatan dan peribadi kita setiap masa dan menjadi Muslim, kecintaan kepada akhirat haruslah melebihi kecintaan kepada dunia.

Allah memerintahkan kita supaya berkorban bukan untuk mendera, tetapi itulah yang dinamakan cinta, sentiasa menagih pengorbanan. Cinta dan pengorbanan sesuatu yang tak dapat dipisahkan.

 


Ketiga, pengorbanan bermaksud melawan hawa nafsu. Mengorbankan apa yang disayangi dan menjadi kecintaan kita. Perbuatan berkorban adalah satu perbuatan yang begitu sukar sekali. Ia menuntut kesabaran yang sangat tinggi. Hal ini kerana hawa nafsu manusia suka kepada kerehatan, perkara yang senang dan mudah.

Namun, syurga dan seluruh nikmat di akhirat perlu dibeli dengan amal-amal soleh kita di dunia. Dunia hanyalah tempat persinggahan menuju kehidupan abadi di akhirat sana. Akhirnya yang menjadi bekal kita di akhirat nanti adalah apa yang kita korbankan di dunia ini.

Rehat yang dikorbankan demi melayani dan menggembirakan keluarga, tidur yang dikorbankan demi bangun bermunajat kepada Allah, harta yang dikorbankan demi membantu keluarga yang memerlukan dan apa juga jenis pengorbanan.

 


Keempat, pengorbanan menuntut keikhlasan. Selepas mencintai dan membuahkan pengorbanan, perbincangan seterusnya adalah tentang keikhlasan.

Pengorbanan boleh diawali dengan keterpaksaan, namun ia hanya benar- benar dapat dimaknakan apabila ia dilakukan dengan keikhlasan daripada diri individu yang berkorban.

Dalam berkorban, kita dituntut mengorbankan yang terbaik. Bukan sisa atau sesuatu yang tidak lagi kita ingini. Atau bahasa lainnya ‘cincai’, tidak bersungguh-sungguh. Hal ini boleh kita pelajari dari kisah Habi dan Qabil di dalam al-quran.

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الآخَرِ قَالَ لأقْتُلَنَّكَ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ (٢٧)

Maksudnya: Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua orang anak Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil).

Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!". Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa".

Dari kisah Habil dan Qabil ini kita mengambil iktibar bahawa pengorbanan harus dilakukan dengan keikhlasan dan memberikan terbaik dari apa yang kita punyai. Kerana itulah makna sebenar pengorbanan.

Demikianlah besarnya makna pengorbanan dalam mencapai tujuan atau matlamat kita sebagai Muslim yang dicintai Allah dan Rasul. Tanyalah pada diri apa yang hendak dikorbankan?

Korbanlah apa sahaja yang kita punya untuk mencari keredhaan Allah. Berkorbanlah dalam bentuk apa pun. Jiwa raga, kerehatan, masa, pemikiran, idea, kebolehan, pengetahuan, kepentingan diri dan apa sahaja yang kita boleh tawarkan untuk mendapat keampunan dan keredhaan Allah.


Ditulis oleh

Hidayah Hamid (Penulis Konten IMAN)


6 comments


  • awacawobefa

    ] Amoxicillin aty.iksq.imanshoppe.com.qco.lg http://mewkid.net/when-is-xuxlya/


  • obonemabezono
    Without Prescription[/url] Amoxicillin 500 Mg bjz.lvqm.imanshoppe.com.sxc.po http://mewkid.net/when-is-xuxlya/

  • TeCyHOQN

    hMAjGLgToby


  • xYlufSatji

    hCqjSxvVaZo


  • TlZnAQqvE

    sGviLXFIz


Leave a comment