FREE SHIPPING UNTUK PEMBELIAN RM200 KE ATAS!

Ada Apa Dengan Tarbiah?

Posted by on

Apa itu TARBIAH?

Kita selalu dengar orang sebut-sebut tentang tarbiah. Malah Kak Iman pun selalu buat Pesta Buku Tarbiah di Imanshoppe. Hehe...kalian ada perasan tak?

Jadi hari ini, Kak Iman nak kongsikan tentang apa itu TARBIAH.

Tarbiah adalah perkataan dalam bahasa Arab yang membawa maksud pendidikan. Lebih luas lagi, tarbiah membawa maksud memperbaiki sesuatu dan meluruskannya.

"Tarbiah bukanlah segala-galanya, tapi segalanya bermula dengan tarbiah."- Mustafa Masyhur

Melalui kata-kata Ustaz Mustafa Masyhur di atas, kita dapat rasakan betapa pentingnya tarbiah itu. Tarbiah adalah proses pendidikan yang bermatlamatkan perubahan.

Maksudnya kita harus melalui tarbiah jika kita ingin mengubah diri kita menjadi yang lebih baik dari hari ke hari. Tarbiah bukan sekadar pada aspek teori atau pemikiran sahaja, tetapi turut merangkumi aspek amali, iaitu mengamalkan Islam secara sempurna.

Bak kata Saidina Ali, “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celaka lah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam.” Nauzubillah. Moga kita tergolong dalam orang-orang yang sentiasa memperbaiki diri.

Jadi, lepas kita dah tahu apa maksud tarbiah, mari kita bincangkan perkara yang lebih penting. Iaitu, bagaimana kita nak tarbiah diri kita?

Mari Kak Iman kongsikan 5 cara yang kita sama-sama boleh amalkan.

  • 1) Bergaul dengan Kawan-Kawan yang Mengingatkan Kita kepada Tuhan.

  • Tidak dapat tidak, suasana persekitaran akan mudah mempengaruhi kita. Bagaimana kuat pun kita berpegang pada sesuatu, sedikit sebanyak kita akan terpengaruh dengan persekitaran yang kita terbiasa dengannya.

    Apabila kita sudah bertekad untuk berubah ke arah kebaikan, tinggalkan seketika suasana atau kawan-kawan yang boleh membantutkan niat kita untuk berubah dan istiqamah dengan kebaikan.

    Cari kawan-kawan atau suasana yang baik. Misalnya bergabung dengan Persatuan Islam di universiti, berjumpa kawan-kawan baru di sana, berkawan dengan kawan yang memelihara aurat dan solat mereka setiap hari.

    2) Menambah Ilmu Dengan Membaca Buku-Buku Berkaitan Tarbiah

    Untuk mendalami sesuatu ilmu, membaca adalah satu proses utama.

    Kerana dari membaca dapat membantu meningkatkan kefahaman. Apa sahaja buku mengenai pendidikan diri, asas-asas Islam, ibadah, pembersihan hati haruslah dijadikan pilihan.

    Antara buku yang Kak Iman boleh cadangkan untuk permulaan adalah:

                               

    3) Menonton atau Mendengar Rancangan yang Berfaedah (Menambahkan Keimanan)

    Isikan masa-masa lapang anda dengan menonton atau mendengar perkongsian-perkongsian yang sarat dengan ilmu dan hikmah dari tokoh-tokoh yang disegani seperti Imam Muda Asyraf, Ustaz Don Daniyal, Ustaz Nouman Ali Khan, Omar Suleiman, Yasmin Mogahed, Ustaz Ali Hidayat, Khalid Basalamah dan ramai lagi.

    Seperti membaca, mendengar dan menonton video-video yang sarat dengan ilmu ini akan membantu kita menambah kefahaman.

    Kita boleh melakukan pekerjaan ini  sambil memasak, memandu kereta, ketika rehat atau apabila ada sahaja waktu terluang. Selepas mendengar atau menonton video-video tersebut, kita boleh kongsikan inputnya dengan kawan- kawan lain di sosial media atau orang- orang sekeliling kita.

    Perkara baik harus dikongsi dan dibudayakan. Barulah kita dikira saling berkejar- berkejar membuat kebaikan macam Allah sebut dalam ayat 148 dalam Surah al-Baqarah.

    4) Meninggalkan perbuatan-perbuatan yang lagha

    Untuk memulakan perbuatan baik adalah lebih mudah daripada meninggalkan perbuatan-perbuatan lagha yang kita telah terbiasa kita lakukan.

    Perbuatan lagha membawa maksud perbuatan-perbuatan yang melalaikan kita. Yang menjauhkan kita dari mengingati Tuhan.

    Boleh jadi perbuatan lagha ini berbeza bagi setiap orang. Ada orang memain permainan video (baca: online gaming)  membuatnya jadi ketagih dan dia menghabiskan masa yang banyak untuk itu dan membuatnya lewat solat, tak menepati janji dan banyak lagi perbuatan buruk.

    Namun, ada orang sebaliknya. Hanya kita yang mengenali diri kita sendiri. Kenal pasti kegiatan harian kita yang melekakan kita dari menjadi Muslim yang baik, perlahan-lahan tinggalkan satu demi satu. Yakinlah apa yang kita tinggalkan kerana mentaati Allah, Allah akan gantikan dengan apa yang Dia cinta.


    وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ


    “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk (mencari keridhaan) Kami (Allah),  benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami ( yang menjadikan mereka gembira dan beroleh keredaan). Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Ankabuut, 29:69)

    5) Muhasabah Diri Setiap Hari

    Jika kehidupan diibaratkan seperti medan peperiksaan, kita berjuang mendapatkan keputusan yang terbaik. Hari mendapat markah adalah diumpamakan seperti hari hitungan amalan-amalan kita di dunia. Muhasabah pula umpama ujian - ujian kecil kita sebelum menuju peperiksaan. Ia harus dilaksanakan agar kita mengetahui tahap kebolehan diri kita, agar kita menyedari sejauh mana usaha yang telah dicurahkan. Apa lagi penambahbaikkan yang harus kita lakukan.

    Banyak cara kita boleh guna untuk bermuhasabah. Ustaz Kak Iman pernah ajar untuk buat satu buku kecil yang tajuknya ‘kebodohanku’.

    Ustaz pesan, tulis semua perbuatan buruk yang kita lakukan dalam buku itu. Sebelum tidur setiap hari, berazam untuk kurangkan senarai dalam buku itu. Dengan melakukan sedemikian, kita menyedari kesilapan yang kita lakukan dan kita berusaha untuk mengurangkannya hari demi hari. Perasan tak, kalau kita dah lama tak muhasabah diri kita, kita jadi kurang kenal siapa diri kita. Tak percaya? Cuba konsisten buat setiap hari dalam minggu ini. Selepas tu, cuba tak buat sekejap.

    Okey kawan-kawan, selamat mentarbiah diri! Untuk diri kita yang lebih baik dari semalam. Siapa pun kita di hari semalam, kita berhak menentukan siapa diri kita hari ini dan akan datang. Pilihan di tangan kita. Nak jadi diri yang mana? :)

    Sekian dulu untuk kali ini,

    -----------------------------------------------------------

    ← Older Post



    Leave a comment

    Sale

    Unavailable

    Sold Out